Pendorong Untuk Berubah!

Februari 9, 2010 oleh yiemega1

PENDORONG UNTUK BERUBAH menjadi tajuk artikel pilihan saya pada kali ini setelah sekian lama tidak mengemaskinikan blog saya ini kerana kesibukkan tugas saya dan lain-lain tugas diharap pembaca blog ini memaafkan saya kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog ini.

Ramai orang selalu bercakap, apa cara pun kita buat tak ada gunanya kalau orang itu sendiri tidak mahu berubah. Berubah di sini merujuk kepada daripada buruk kepada baik, daripada baik, daripada bilazim kepada lazim. Ya memang betul, tetapi perlu ingat apabila berjalan dalam gelab kita tetap memerlukan bantuan seperti cahaya lampu, pemimpin dan sebagainya.

Jadi maknanya sukar juga untuk berubah sekiranya kita tidak ada PENDORONG UNTUK PERUBAHAN! kerana dengan adanya pendoorng untuk berubah ia akan menjadikan kita BERANI BERUBAH!.

Kita ibaratkan Pendorong Untuk Berubah seperti cahaya lampu yang diperlukan oleh seseorang untuk berjalan di lorong yang gelab gelita yang tidak diterangi oleh sebarang lampu jadi maknanya kita tetap memerlukan lampu untuk berjalan di dalamnya.

Daripada pengalaman saya, kebanyakkan insan yang berjaya berubah mempunyai pendorong untuk berubah! kerana biasanya pendorong untuk berubah ini akan berusaha membakar semangat sesiapa yang ingin berubah menjadi berkobar-kobar untuk BERUBAH!.

Contoh Pendorong Untuk Berubah ialah adik, abang, sahabat, dan mungkin juga kekasih. Jadi untuk menemui KEJAYAAN untuk anda BERUBAH adalah lebih elok sekiranya ianya TURUT DIBANTU oleh PENDORONG UNTUK BERUBAH.

Saya rasa artikel saya cukup setakat ini pada hari ini, saya akan sambung di lain waktu, masa dan ketika selagi ada waktu. Selagi terdaya oleh tulang empat kerat saya. Semoga ANDA BERJAYA BERUBAH! BERANILAH BERUBAH!

Reblog this post [with Zemanta]

Angkara Kawan…

November 6, 2009 oleh yiemega1

KAWAN kadang-kadang kita panggil rakan, kadang-kadang kita panggil teman, kalau di Kelantan kawan dipanggil ‘Saing’ dan bermacam lagi sebutan yang memberikan maksud kawan.

Hari ini saya ingin mengetengahkan artikel yang bertajuk “Angkara Kawan”, artikel ini dibuat berdasarkan kisah benar dan nama sebenar mereka yang terlibat saya perlu rahsiakan demi menjaga aib mereka.

‘Angkara Kawan’ itulah tajuk artikel saya pada kali ini, saya pasti semua orang suka berkawan, ye lah selaku manusia sudah tentu hidup bermakna tanpa kawan. Kawan ada bermacam-macam jenis, tetapi biasanya kawan yang sentiasa berada di sisi kita walau dalam apa jua keadaanpun sukar untuk dicari, banyak kawan yang hanya wujud di dalam kehidupan kita apabila kita senang sepertimana kata pepatah “Kawan ketawa senang dicari, Kawan menangis susah sekali”.

Terlalu mempercayai kawan adalah satu kesilapan yang besar, kerana kadang-kadang musuh kita itu adalah kawan kita. Izinkan saya menceritakan pengalaman seorang klien saya yang namanya saya rahsiakan.

Perkara ini berlaku beberapa hari yang lalu, kata orang masih panas-panas lagi. Begini kisahnya, Klien saya namakan dengan nama D, kawan klien tersebut saya namakan H dan S.

Satu hari si H ini mengajak D ke rumah S, oleh kerana D ini memang rapat dengan H dia tidak menolak untuk pergi bersama-sama dengan H ke rumah S. D dan H berjalan kaki ke rumah S.

Setibanya ke rumah S, D dan H berbual kosong beberapa minit. Hendak dijadikan cerita S mengajak D dan H ke kedai runcit berhampiran rumah S. Si D dan H ini tidak menolak pelawaan S.

Mereka pun pergi bertiga ke kedai runcit tersebut, sampai di Kedai Runcit tersebut, Si D ni terasa nak membeli makanan ringan, jadi D pun membayar harga makanan ringan tersebut di kaunter kedai runcit tersebut. Tiba-tiba si S menempik “Bersurai” dan si S dan H melarikan diri.

Rupa-rupanya si S telah mencuri duit di Kedai Runcit itu, tetapi Si D yang terpinga-pinga tidak mengetahui niat si S itu telah ditangkap oleh tauke kedai runcit tersebut kerana beliau mengesyaki si D ini bersubahat dengan Si S dan H.

Akibatnya tauke kedai itu membawanya ke rumah S, tetapi malangnya Ayah dan Abang si S ini lebih percayakan si S lagi berbanding orang lain, hasilnya si D ini dipukul oleh Abang si S, pada masa itu si S tiada di rumah, mungkin merasa takut untuk balik ke rumah. Itulah malang nasib si D kerana terpaksa menerima akibat daripada perbuatan orang lain.

Pengajaran daripada cerita klien saya ini ialah jangan terlalu percayakan kawan, kerana dunia hari ini semakin ramai kawan yang makan kawan. Inilah yang dikatakan orang lain yang curi nangka, orang lain yang kena getahnya. Berwaspadalah di dalam memilih sahabat handai, rakan taulan. Jangan tersilap pilih kawan.

Reblog this post [with Zemanta]

Amalan Memaafkan Kesilapan Orang…

Oktober 9, 2009 oleh yiemega1

MAAF satu ungkapan yang digunakan apabila seseorang itu melakukan kesalahan terhadap seseorang yang lain. Apabila tiba hari perayaan seperti hari raya Aidilfitri kita juga bermaaf-maafan memohon ampun kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Memang tidak dinafikan ungkapan maaf memang mudah untuk dilafazkan, namun bukan mudah untuk memohon maaf dari seseorang. Bagi memastikan pembaca faham terlebih saya ingin ceritakan sikap-sikap yang berlainan ada pada seseorang untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam kepada pembaca.

Manusia mempunyai banyak sikap, terutamanya dari segi sikap untuk memaafkan orang. Pertamanya, ada segelintir manusia yang memang jenis senang maafkan orang, tidak terlalu ego untuk tidak memaafkan kesalahan orang. Manusia dari jenis ini memang senang untuk ditagihkan kemaafan.

Jenis sikap manusia yang kedua pula, susah sedikit untuk maafkan orang tetapi bukanlah terlalu susah untuk memohon maaf daripadanya, cuba hanya perlu menerangkan sedikit padanya, lazimnya dia tidak terus menolak penerangan seseorang, sebaliknya mendengar dulu penerangan tersebut jika dirasakan penerangan ada asasnya maka dia pun merasakan memang patut seseorang itu dimaafkan atau dengan kata lain memaafkan orang berdasarkan hujah orang tersebut.

Satu lagi kategori manusia yang paling susah untuk memohon kemaafan daripadanya. Biasanya egonya terlalu tinggi, dan sukar untuk memaafkan kesilapan orang. Orang macam paling bahaya, kita buat apa sahaja pun dia tidak akan cepat maafkan kita. Lebih buruk lagi dia langsung tidak mahu mendengar penjelasan kita.

Sebenarnya dalam kehidupan kita sehari-hari adalah lebih elok kita banyak maafkan orang, kerana orang yang sukar maafkan orang ini, satu masa nanti di saat memerlukan kemaafan dari orang, dia juga sukar mendapat kemaafan itu, ini pernah berlaku pada kawan saya yang memang sukar maafkan orang, namun akhirnya selepas satu insiden dia membuat salah terhadap orang tetapi sukar untuk mendapatkan kemaafan itu, akhirnya dia berubah menjadi orang yang pemaaf.

Kesimpulanya, dalam hidup kita sehari-hari, adalah lebih elok kita menjadi pemaaf daripada kita menjadi ‘bakhil maaf’ kerana kita bukan selama-lamanya tidak membuat salah sebagai manusia biasa memang tak lekang daripada membuat kesalahan. Ubahlah diri jadikanlah diri anda sebagai seorang pemaaf!.

Reblog this post [with Zemanta]

Tersilap Pilih Cinta…

September 15, 2009 oleh yiemega1

CINTA satu ungkapan yang digemari oleh remaja kita pada hari ini. Kalau bercakap mengenai cinta ia akan menarik minat seorang insan yang bergelar remaja. Cinta memang wujud dalam kehidupan kita sesehari, malah remaja bangku sekolah pun sudah terdedah dengan cinta.

Cinta Remaja Bangku Sekolah kadang-kadang terlalu menaruh harapan yang amat tinggi seperti impian mereka agar cinta mereka berakhir di jinjang pelamin.  Tiada masalah mengenai cinta tetapi masalahnya mengenai Remaja di bangku sekolah bercinta yang terlalu menaruh harapan tinggi dengan percintaan mereka.

Remaja bangku Sekolah lazimnya keliru dengan Cinta dan kadang-kadang mereka tersilap pilih cinta sehinggakan ada yang sanggup membunuh diri demi kerana cinta walaupun mereka tidak sedar cinta di bangku sekolah kita tidak boleh menaruh harapan yang tinggi terhadapnya.

Sebagai panduan buat remaja agar tidak tersalah pilih cinta kerana tersalah pilih cinta merana akibatnya dan kadang-kadang boleh membahayakan nyawa sendiri. Ramai remaja di luar sana tidak memahami apa sebenarnya cinta.

Oleh yang demikian, saya ingin menceritakan perihal berkenaan cinta agar dapat dijadikan rujukan oleh remaja di luar sana terutamanya remaja di bangku sekolah.

Sebenarnya cinta boleh dikategorikan dalam beberapa tahap, di mana setiap tahap berbeza harapanya. Pertama sekali ialah Cinta Main-Main, biasanya cinta seperti ini lahir pada zaman kanak-kanak (7-12 Tahun) di mana tiada harapan yang tinggi untuknya hanya sekadar suka-suka atau mencuba jadi kanak-kanak yang bercinta hendaklah faham mengenainya.

Cinta Monyet biasanya di alami  Remaja Berumur 13 – 17 Tahun. Cinta pada tahap ini juga tidak perlu pengharapan yang tinggi kerana cinta pada tahap ini lazimnya remaja cuba memenuhi tuntutan iaitu ‘orang lain ada, saya pun ada’ atau dengan kata lain dia cuba menunjuk-nunjuk untuk melihatkan dia lebih hebat dari orang lain.

Remaja yang berumur 17-20 Tahun akan mengalami Cinta Separa Serius. Cinta pada tahap ini biasanya hanya satu pihak yang serius dan yang satu pihak lagi tidak berapa serius cuma sekadar untuk ada teman untuk berbual, teman untuk berbalas SMS dan kadang-kadang ada yang juga yang sekadar ingin memuaskan nafsu serakah bak kata orang “habis madu sepah dibuang”, jadi saya ingin menasihatkan remaja yang mengalami cinta tahap ini janganlah menaruh harapan yang tinggi terutamanya yang perempuan kerana mungkin akan melibatkan ‘Mahkota Suci’ mereka, jadi jangan murahkan ‘Mahkota Suci’ Anda.

Cinta Serius lazimnya berlaku pada yang berumur (20 – Infiniti tahun), pada tahap ini bolehlah pelakunya menaruhkan harapan tinggi terhadap perhubungan cinta mereka, namun mereka masih perlu berhati-hati kerana perangkap mungkin ada di mana-mana cuma yang pandai mengatur sahaja akan mengakhiri cinta mereka di jinjang pelamin.

Saya ingin mengesyorkan kepada kanak-kanak berumur 7 – 12 Tahun dan Remaja yang berumur 13 – 20 Tahun adalah lebih baik mereka mencari Cinta Sempurna daripada cinta-cinta yang dinyatakan sepertimana di atas.

Apa itu Cinta Sempurna? Ada satu ungkapan yang menerangkan apa itu Cinta Sempurna, ungkapanya berbunyi seperti “Kalau Kita Cintakan Bunga, Bunga Kan Layu, Kalau Kita Cintakan Manusia, Manusia Kan Mati, Tapi Kalau Kita Cintakan Allah ia akan terus berkekalan dunia dan akhirat. Jadi adalah lebih baik mencari Cinta Sempurna berbanding mencari cinta lain pada usia tersebut.

Bagaimana nak cari “Cinta Sempurna”? Senang sahaja perbanyakkan Ibadah, Amalan dan Taqwa kepada Allah dengan cara itu ia akan menemukan kita dengan Cinta Yang Agung iaitu Cinta Sempurna.

Reblog this post [with Zemanta]

Kesan-Kesan Jenayah Juvana Kepada Masyarakat…

September 12, 2009 oleh yiemega1

ALHAMDULILLAH syukur ke hadrat Allah s.w.t, setelah sekian lama saya tidak mengemaskini blog saya, hari ini saya diberikan sedikit ruang waktu oleh Allah tuhan seru sekian alam Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang untuk mengemaskini blog ini  kerana sudah sekian lama saya tidak dapat mengemaskini blog ini kerana kesuntukkan masa.

Artikel Kesan-Kesan Jenayah Juvana kepada masyarakat ini dibuat bagi menjawap soalan salah seorang pengunjung menggunakan nama ‘Rozita’ yang berbunyi “saya ingin mengetahui lebih lanjut apakah kesan-kesan jenyah juvana ini terhadap masyarakat khususnya memandangkan jenayah ini semakin menular sejak kebelakangan ini..”. Sebelum saya meneruskan izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Rozita kerana membuat pertanyaan.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada Rozita kerana mungkin agak terlambat saya menjawab soalan beliau, tetapi satu pepatah Inggeris yang berbunyi “Better late than Never” membuatkan saya tetap menjawab soalan Rozita walaupun mungkin agak terlambat.

Jenayah Juvana di negara kita bukanlah satu benda asing pada zaman ini, malah ia terus meningkat tahun berganti tahun, masa silih berganti. Namun jika dikira satu masa dulu Jenayah Juvana ini adalah satu perkara janggal dan bermakna ianya amat jarang sekali berlaku.

Jenayah Juvana ini lazimnya merujuk kepada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pelaku yang umurnya di bawah 18 tahun. Hari ini sudah bentuk Jenayah Juvana yang ada di negara kita, saya bagi contoh Kes Rogol pun sudah menjadi salah satu daripada cabang  jenayah Juvana, selain mencuri dan merompak.

Evolusi sentiasa berlaku tidak kira terhadap perkara yang baik mahupun yang tidak baik. Apabila evolusi berlaku ke atas Jenayah Juvana secara tidak langsung dia telah menjadikan permasalahan tersebut semakin rumit untuk diselesaikan.

Saudari Rozita yang bertanya kepada saya Apakah kesan-kesan Jenayah Juvana kepada Masyarakat, jawapan yang boleh diberikan mungkin boleh dikatakan mudah namun ada sedikit kompleksnya.

Matlamat adalah satu elemen yang penting dalam sesuatu benda, saya bagi contoh manusia mempunyai matlamat hidupnya sendiri, cuba kita lihat sewaktu bermain Golf, di mana matlamatnya adalah Lubang Golf, cuba anda bayangkan apa akan terjadi sekiranya kita bermain Golf di Padang yang tidak mempunyai lubang Golf adakah tercapai matlamatnya? Sudah tentu tidak bukan?

Begitu juga dengan negara kita atau lebih tepat masyarakat kita yang mempunyai matlamat, matlamat sesebuah negara adalah kejayaan dan juga penerusaan kejayaan serta penambah kejayaan, Selain itu, Kepimpinan yang diwarisi boleh dikatakan salah satu matlamat bagi masyarakat kita. Saya bagi contoh untuk berjaya kita perlukan usaha, untuk kekalkan keamanan sesebuah negara kita perlukan Kepimpinan yang utuh dan kental menghadapi apa jua dugaan.

Pada pandangan saya, kesan jenayah juvana kepada masyarakat ialah suatu hari nanti kita akan kehilangan pewaris kepimpinan yang berkaliber sekaligus ia akan mengugatkan keselamatan negara kita dengan kata lain masyarakat kita. Cuba bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya remaja-remaja kita yang ada sekarang rosak akhlaknya pada masa sekarang dan implikasinya pada masa depan. Ini dari segi kesan masa hadapan yang akan terjadi terhadap masyarakat.

Bagaimana pula dengan kesan jenayah juvana kepada masyarakat untuk masa sekarang atau here and now? Sebenarnya Kesan here and now Jenayah Juvana kepada masyarakat ada banyak juga, antaranya kerugian harta benda, kerosakkan hubungan silaturahim, kerugian nyawa dan juga kerugian masa.

Masyarakat secara tidak langsung sebenarnya terpaksa membiayai perbelanjaan remaja yang menjadi pelaku Jenayah Juvana dalam bentuk seperti bayaran cukai secara mereka sedari, hari demi hari Makin Banyak duit Kerajaan dihabiskan untuk Mengatasi Jenayah Juvana atau dengan erti kata lain Pelaku Jenayah Juvana akan dibiayai oleh masyarakat tanpa mereka sedar, ini bermakna masyarakat akan mengalami kerugian dari segi harta benda.

Selain itu, saya ibaratkan Remaja sebagai sebuah kereta yang baru disiapkan dan hendak dijual, cuba bayangkan adakah penjual kereta dapat menjual kereta baru itu sekiranya kereta itu banyak kerosakkan dan kecacatan? Sudah tentu sukar untuk mencari pembelinya walaupun kereta baru tetapi sekiranya Kereta baru itu bebas dari kecacatan dan kerosakkan sudah pasti berebut orang untuk mendapatkanya. Begitu juga remaja, sekiranya remaja ramai remaja yang berpendidikan tinggi dilahirkan, namun akhlaknya rosak ia tidak akan menjadi produk “Best Seller” sebaliknya kita terpaksa melelongnya  ini bermakna setaraf mereka dengan Produk yang dilelong di Pasar Malam di mana kualitinya memang boleh dipertikaikan. Secara tidak langsung ia akan memberi kerugian kepada masyarakat, sebab inilah adanya Pemimpin yang korupsi, Pegawai yang rasuah, Orang Kaya Pemberi Rasuah dan bermacam-macam lagi inilah di antara kesan-kesanya terhadap masyarakat.

Reblog this post [with Zemanta]

Pengaruh Internet Terhadap Pelajar Sekolah

Julai 26, 2009 oleh yiemega1

Pengaruh Internet Terhadap Pelajar Sekolah

oleh: yieMEGA

Penyalahgunaan internet dikalangan pelajar sekolah semakin membinbangkan dewasa ini terutamanya membabitkan pelayaran laman web berunsur lucah yang turut menjadi kegilaan pelajar masakini.

INTERNET kini menjadi medium perhubungan komunikasi yang popular di kalangan rakyat Malaysia malahan ia turut menjadi medium pilihan rakyat Dunia sebagai satu cara baru dalam berkomunikasi dan juga bakal menjadi medium komunikasi utama dunia tambahan pula ‘talian telefon internet berasaskan IP‘ semakin popular dewasa ini.

Kewujudan internet banyak juga pro dan kontranya terhadap masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khasnya. Kini di Malaysia Internet menjadi ‘medium penyampaian’ baru apabila kebanyakkan pemimpin menggunakan platform blog untuk menyampaikan maklumat termasuklah Perdana Menteri Malaysia sendiri yang juga turut menggunakan blog sebagai medium penyampaian.

Pelajar Sekolah Di Kafe Siber

Pelajar Sekolah Di Kafe Siber

Penulis tidak nafikan memang banyak kebaikkan penggunaan internet tetapi adalah tidak adil jika kita sekadar membincangkan kebaikkan tetapi tidak membincangkan keburukanya. Terlebih dahulu penulis bukanlah ‘anti internet’ tetapi penulis lebih kepada untuk membimbing ibu-bapa agar dapat membimbing anak-anak mereka menggunakan internet untuk jalan-jalan yang lurus.

Pelajar sekolah hari ini adalah antara pengguna internet di Malaysia. Sekiranya di rumah mereka tidak ada kemudahan internet mereka akan ke kafe siber untuk mendapatkan kemudahan internet jadi kebanyakkan mereka sudah terdedah kepada penggunaan internet.

Portal-portal sosial seperti Myspace, Friendster, Hi-5, Tagged, Facebook dan bermacam-macam lagi yang wujud umpama cendawan tumbuh selepas hujan telah menjadi kegilaan pelajar-pelajar zaman sekarang maklumlah dunia sudah serubah zaman sudah maju.

Selain daripada portal-portal sosial, permainan komputer atas talian (Online Games) turut menjadi kegilaan pelajar sekolah masa kini. Antara permainan komputer atas talian yang popular adalah Risk Your Life 2 Incomplete Union, Cabal SEA, FiFa Online dan bermacam-macam lagi.

Penyalahgunaan internet dikalangan pelajar sekolah semakin membinbangkan dewasa ini terutamanya membabitkan pelayaran laman web berunsur lucah yang turut menjadi kegilaan pelajar masakini. Paling mengejutkan apabila penulis membuat tinjauan di Kafe Siber sekitar Kota Bharu, Kelantan Pelajar Sekolah seawal darjah empat sudah terdedah dengan laman web lucah apabila penulis secara tidak sengaja terlihat kumpulan pelajar sekolah terbabit melayari laman web lucah di sebuah Kafe Siber berdekatan dengan bangunan PKINK.

Mungkin menyedari tindak-tanduk mereka diperhatikan penulis cepat-cepat mereka menutup laman web tersebut. Pada mulanya penulis membiarkan sahaja mereka tetapi atas dasar ingin tahu, penulis cuba bertanya mereka tentang ‘umur mereka’ kesemua mereka adalah pelajar darjah empat sebuah sekolah rendah yang berdekatan.

Di samping itu, semasa mahu pulang penulis terserempak dengan dua kumpulan pelajar sekolah yang ‘bertengkar’ dan saling memarahi antara satu sama lain. Penulis cuba memasang telingga untuk mengetahui sebab mereka bertengkar, akhirnya tahulah penulis bahawa mereka bertengkar mengenai ‘item permainan atas talian Risk Your Life Incomplete Union’ yang hilang dan mereka menuduh satu kumpulan lagi yang bertanggungjawab mencuri item tersebut.

Nampaknya, permainan atas talian itu menjadi punca pergaduhan mereka ini bermakna permainan atas talian itu secara tidak langsung mengajar pelajar-pelajar bertindak ganas.

Selain daripada itu, bahasa-bahasa yang digunakan semasa permainan itu dijalankan juga tidak sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pelajar kerana ada yang mencarut, ada yang menyumpah dan ada juga yang mengungut. Penulis tidak nafikan kebanyakaan perkataan lucah telah disekat oleh penyedia permainan atas talian tersebut, namun mereka tetap mencarut dengan menggunakan perkataan yang tidak mampu dikesan oleh pengesan perkataan buruk permainan itu dengan menambahkan aksara-akasara tertentu seperti ****.

Jelas sekali pelajar-pelajar sekolah masakini perlu dibimbing oleh ibu-bapa semasa menggunakan internet ataupun bermain permainan video atas talian seperti RYL2 Incomplete Union.

Reblog this post [with Zemanta]

….::::Didiklah Anak Anda Dengan Solat::::….

Julai 3, 2009 oleh yiemega1

DIDIKLAH ANAK ANDA DENGAN SOLAT

Oleh: yieMEGA

Sebagai ibu-bapa mereka perlulah menjadi ‘role model‘ yang terbaik bagi anak mereka, kerana anak yang dilahirkan itu ibarat kain putih dan ibu-bapalah yang mencorakkan kain itu dengan corak yang bagaimana. Janganlah jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.

Pada artikel penulis pada kali ini saya ingin memberikan sedikit tips kepada ibu-bapa kepada pelajar-pelajar sekolah yang masih muda remaja dan cenderung melakukan sesuatu perkara yang baru. Perlu diingat mereka masih belum berkemampuan untuk membezakan baik dan buruk jika tidak dibimbing dengan betul padah akibahnya.

SOLAT sebenarnya salah satu cara untuk para ibu-bapa mendidik anak mereka kerana dengan bersolat ia mampu mengelakkan anak-anak anda daripada membuat perkara-perkara yang mungkar dan bertentangan dengan norma-norma masyarakat.

Sebenarnya Ibu-bapa boleh mengambil peranan sebagai “Pembimbing” di dalam membentuk peribadi ‘cahaya mata’ mereka. Perlu diingatkan disini, mereka hendaklah bertindak sebagai pembimbing dan bukanya pemberi arahan kerana remaja lazimnya tidak suka dengan ‘arahan’.

Bimbinglah mereka dengan cara ‘psikologi’ biar nampak lembut tetapi kesanya agak mendalam ke atas ‘kurniaan Allah‘ itu. Ibu-bapa juga perlu fikirkan yang anak mereka adalah harta paling bernilai dalam keluarga mereka.

Ibu-bapa juga tidak boleh menggunakan ‘pendekatan’ bimbingan yang sama mereka dapat semasa mereka kecil dahulu, kerana apabila zaman berubah, cara pengendalian remaja pun juga turut berubah. Elakkan dari terlalu mengokongnya.

Emosi remaja juga berbeza merentas waktu, sebagai contoh ada satu perkara yang dahulunya anda (sebagai anak) tidak boleh buat tetapi sekarang remaja sekarang sudah boleh buatnya. Bimbingan yang dibuat hendaklah bersesuaian dengan ‘fitrah remaja’ pada zamanya.

Namun apa yang membuatkan saya binggung ialah ada di antara ibu bapa yang bukan sahaja tidak mengambil berat soal anaknya malah diri mereka sendiri pun tidak pernah bersolat sebaliknya sering mendewakan soal wang ringgit yang sah tidak boleh di tanam semasa jasad anda di tanam ke dalam tanah. Kehidupan yang tidak ada Barakah menyebabkan berlakunya keruntuhan moral muda-mudi sekarang ini yang semakin hari semakin teruk umpama “telur di hujung tanduk”.

Sebagai ibu-bapa mereka perlulah menjadi ‘role model’ yang terbaik bagi anak mereka, kerana anak yang dilahirkan itu ibarat kain putih dan ibu-bapalah yang mencorakkan kain itu dengan corak yang bagaimana. Janganlah jadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.

Kepada ibu-bapa yang sering mengabaikan Solat perbaikilah diri terlebih dahulu dan barulah anda memperbaiki anak anda dengan membimbing mereka mengerjakan solat dan memastikan anak mereka patuh pada suruhan agama ini.

Ingat sepanjang tugas saya, hampir 90% pelajar yang mempunyai masalah disiplin datangnya daripada keluarga yang langsung tidak mendirikan Solat sedangkan solat itu tiang agama. Inilah menyebabkan keruntuhan akhlak remaja ‘merajai’ tajuk utama akhbar kita. Fikir-fikirkanlah dengan hati yang terbuka…..

Reblog this post [with Zemanta]

Kenapa Pelajar Ponteng Sekolah?

Jun 23, 2009 oleh yiemega1

Pelajar Ponteng

Pelajar Ponteng

“Faktor Keempat ialah ‘ketagih’ dengan permainan komputer dalam talian seperti Risk Your Life Incomplete Union dan mereka lebih gemar pergi ke kafe siber untuk bermain permainan tersebut daripada ke sekolah.”

Persada Pendidikan Tanah Air pada waktu ini dihangatkan dengan isu “Pelajar Ponteng” , Sebenarnya isu “Pelajar Ponteng” ini bukan isu baru sebenarnya ia sudah berlaku sejak bertahun-tahun dulu tetapi dulu tidaklah seburuk sekarang.

Dibawah ini penulis lampirkan pautan beberapa artikel akhbar yang berkaitan dengan gejala ponteng ini.

Artikel 1

Artikel 2

Artikel 3

Artikel 4

Artikel 5

Artikel 6

Artikel 7

Artikel 8

Itulah diantara artikel-artikel yang berkenaan dengan gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah. Isu ini menjadi perdebatan hangat sehinggakan berlakunya tunding-menunding di pihak yang itu salah kan yang ini, di pihak yang ini salahkan yang itu” sampai bila masalah ini hendak selesai.

Penulis pernah membuat kajian tidak rasmi mengapa kebanyakkan pelajar sekolah suka ponteng berdasarkan kes-kes yang penulis kendalikan sebagai kaunselor sekolah.

Faktor pertama yang penulis dapati rata-rata pelajar yang ponteng kebanyyakanya tidak berpuas hati dengan guru yang mengajar pada hari itu, ada guru yang menyumpah seranah mereka sewaktu P&P dijalankan, ia membuatkan mereka tertekan denganya dan mengambil jalan mudah dengan ponteng sekolah.

Faktor kedua ialah penguatkuasaan yang kurang oleh pihak Sekolah, namun penulis tidak menyalahkan pihak pentadbir sekolah kerana kuasa ‘pentadbir sekolah’ terhad di dalam sekolah sahaja, jika mereka mengambil tindakan dengan pelajar yang ponteng di luar sekolah mereka terpaksa menanggung risiko jika terjadi apa-apa kepada pelajar mereka sekiranya mereka bertindak di luar kawasan sekolah.

Faktor ketiga ialah mereka tiada keinginan untuk belajar dan mereka datang ke sekolah pun sekadar untuk berkawan dan bersuka-suka dan hidup berfoya-foya selain daripada atas arahan ibu bapa mereka.

Faktor Keempat ialah ‘ketagih’ dengan permainan komputer dalam talian seperti Risk Your Life Incomplete Union dan mereka lebih gemar pergi ke kafe siber untuk bermain permainan tersebut daripada ke sekolah.

Faktor Kelima ialah ibu-bapa yang tidak mengambil berat dalam hal-hal persekolahan anak-anak mereka kerana terlalu sibuk dengan tugasan mencari rezeki sepertimana ibu-bapa yang berniaga di Medan Selera Buluh Kubu, Kota Bharu.

Faktor Keenam ialah ibu-bapa yang beragama Islam hanya pada nama tetapi langsung tidak mengamalkan apa yang dituntut dan mengamalkan apa yang dilarang oleh Agama Islam. Ibu-bapa yang tidak solat lima waktu sehari semalam juga menjadi faktor penyumbang kepada pelajar yang suka ponteng.

Faktor ketujuh kenapa pelajar sekolah suka ponteng ialah ‘ketagih’ dengan bahan-bahan terlarang seperti gam, Pil Kuda, Ecstacy dan lain-lain dadah generasi baru. Bahan-bahan yang terkandung di dalam bahan-bahan terlarang tadi telah membuatkan mereka tidak mampu berfikir secara waras dan mudah untuk ‘ponteng sekolah’.

Faktor kelapan ialah ‘Sikap Pantang Dicabar’ yang ada di kalangan pelajar-pelajar sekolah menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka untuk ponteng sekolah.

Faktor kesembilan ialah “Pembuli Dalam Sekolah” juga menjadi faktor pelajar sekolah ponteng, mereka yang menjadi mangsa buli akan takut untuk ke sekolah jadi mereka membuat pilihan untuk tidak ke sekolah dan melencong ke tempat lain.

Faktor kesepuluh ialah ibu-bapa yang  amat bertegas sebagai contoh ‘memaksa’ anak mereka untuk mandi dengan cepat dengan menengking sekiranya lambat, tindakan itu membuatkan hati anak mereka terguris dan menyebabkan mereka menyimpan dendam dan memilih ponteng sekolah untuk membalas dendam.

Kesimpulanya di dalam menangani gejala ponteng ini ia memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak perlulah saling berbalah di samping saling tunding-menunding kerana ia tidak akan menyelesaikan permasalahan ini.

Reblog this post [with Zemanta]

Gay atau Homoseksual – Apa Puncanya?

Jun 14, 2009 oleh yiemega1

Saya percaya apa yang saya dedahkan ini akan membuatkan orang yang membacanya akan mencemuh pelajar-pelajar di sekolah berkenaan, sebenarnya mereka tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana sekolah satu gender ini bertentangan dengan ‘Fitrah Manusia’.

Gay atau Homoseksual adalah salah satu tingkahlaku Bilazim. Tingkahlaku Bilazim ini bermaksud tingkah laku yang berntentangan dengan norma-norma masyarakat. Golongan Gay atau Homoseksual ini mempunyai keinginan seks sonsang iaitu lelaki yang meminati kaum lelaki dan mempunyai keinginan seks terhadap lelaki.

Hari ini “Gay, Artis Sonsang” menjadi tajuk akhbar Harian Metro. Persoalanya di sini apa puncanya membuatkan seseorang itu terjebak kepada perlakuan ‘kaum nabi Lut ini?

Sebenarnya Homoseksual atau Gay ini bukanlah satu trend baru kerana perbuatan ini sudah dilakukan di zaman Kaum Nabi Lut lagi, namun di atas kuasa Allah tuhan seru sekian alam kaum ini telah diterbalikkan buminya kerana melakukan perbuatan yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Baru-baru ini saya sempat membaca Mastika(maaf saya lupa edisi bila) yang membuat laporan eklusif di mana seorang pelajar sebuah Maahad Tahfiz yang terjebak kepada gejala seks sonsang tersebut dan katanya lagi gejala itu sudah menjadi amalan biasa bagi pelajar-pelajar yang bakal bergelar ‘Hafiz Disana”.

Saya sendiri pernah menjalankan kajian di beberapa buah sekolah di sekitar Kota Bharu, alangkah terkejutnya saya apabila sekolah yang dikategorikan sebagai ‘unigender‘ adalah paling banyak dilaporkan kes homoseksual berlaku dan kebanyakkan sekolah ‘unigender’ tersebut adalah sekolah Agama.

Saya percaya apa yang saya dedahkan ini akan membuatkan orang yang membacanya akan mencemuh pelajar-pelajar di sekolah berkenaan, sebenarnya mereka tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana sekolah satu gender ini bertentangan dengan ‘Fitrah Manusia’.

Fitrah Seorang manusia di mana lelaki dan perempuan saling memerlukan, namun apabila ‘Fitrah Manusia’ ini disekat dengan mengehadkan sekolah dengan gender-gender tertentu sahaja dan menyebabkan berlaku gejala bilazim seperti gay dan homoseksual ini.

Ini bermakna sekolah-sekolah satu gender perlu dikaji semula kerana ia bakalan menyebabkan gejala bilazim seperti ini terus ‘merajai carta’ di dada-dada akhbar tempatan.

Reblog this post [with Zemanta]

Menangani Kemerosotan Anak Bangsa…

Jun 12, 2009 oleh yiemega1

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan “Kemerosotan Anak Bangsa”?

Kemerosotan Anak Bangsa merujuk kepada “keruntahan akhlak remaja, pelajar sekolah dan pencapaian akademik mereka”.  Dewasa ini keruntuhan akhlak dikalangan remaja semakin serius umpama ‘nasi sudah nak jadi bubur’. Kita perlu menangani kemerosotan anak bangsa ini demi memastikan generasi perwaris kepimpinan negara ini tidak akan menjadi ‘liabiliti’ pada negara pada satu masa nanti.

Pelajar Wanita Merokok

Pelajar Wanita Merokok

Isu Gejala Sosial dikalangan remaja ini juga tidak dapat diselesaikan sekiranya berlaku tunding-menunding antara dua pihak. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri dan saling tunding-menunding untuk kepentingan diri dan ideologi politik masing-masing. Ini masanya kita bertindak demi menyelamatkan generasi pewaris bangsa ini.

Gejala Sosial Di Kalangan Remaja Di Malaysia

Aksi Berani Minah Rempit

Aksi Berani Minah Rempit

Dewasa ini kebanyakkan anak bangsa kita (remaja kita) terjerumus ke dalam beberapa gejala sosial yang baru dan yang lama. Ini adalah hasil daripada kejayaan misi “Penjajahan Bentuk Baruyang cuba dilakukan oleh para kapitalis.

Beberapa gejala sosial yang popular di kalangan anak bangsa kita pada hari ini ialah Mat Rempit (Sekumpulan Remaja Yang Menaiki Motosikal Secara Berkumpulan dan melakukan aksi-aksi berbahaya), Homoseksual atau Gay (Kencenderungan seseorang individu lelaki yang meminati kaum yang sejenis denganya yakni lelaki), Seks Luar Nikah / Seks Bebas (Seks yang diamalkan secara bebas tanpa adanya pernikahan)Penagihan Dadah Generasi Baru (Dadah Ciptaan Seperti Pil Kuda dan Ecstacy).

Gothic Di Malaysia

Gothic Di Malaysia

Selain itu, ramai  anak bangsa kita yang terlibat dengan kes-kes jenayah seperti samun, rompak, curi motosikal, pecah rumah dan bermacam-macam lagi. Anak bangsa kita yang masih di bangku sekolah juga gemar ‘bertumbuk’ dan membentuk ‘kumpulan tertentu‘ di dalam sekolah dengan tujuan melindungi ahli kumpulanya daripada dipukul oleh pelajar lain.

Bilangan anak bangsa kita yang terlibat dengan kumpulan kongsi gelap juga semakin bertambah dari hari ke hari. Mereka hari-hari merekrut ahli-ahli baru untuk menjadi ahli kumpulan kongsi gelap yang mereka sertai. Hal ini amat membimbangkan sekiranya langkah-langkah mengatasi tidak diambil.

Apakah Punca Kemerosotan Anak Bangsa?

Persekitaran Tempat Tinggal

Ramai orang yang menyalah anggap bahawa persekitaran tempat tinggal tidak akan mempengaruhi ‘perangai’ anak-anak mereka walhal sebenarnya persekitaran tempat tinggal juga mempengaruhi ‘perangai’ anak-anak mereka. Ini adalah berdasarkan kajian yang saya buat mengenai “Pengaruh Persekitaran Tempat Tinggal Terhadap Disiplin Pelajar yang saya jalankan di Kota Bharu, Kelantan yang diterjemahkan ke dalam carta pai seperti di bawah:

Kaji Selidik Pengaruh Persekitaran Tempat Tinggal Terhadap Disiplin Pelajar

Kaji Selidik Pengaruh Persekitaran Tempat Tinggal Terhadap Disiplin Pelajar

Mat Rempit

Mat Rempit

Ini bermakna di dalam memilih tempat tinggal ibu-bapa perlu berhati-hati demi memastikan anak-anak mereka tidak terjerumus ke kancah perilaku bilazim yang bertentangan dengan norma-norma mastarakat.

Tahap Kebahagian Keluarga

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Berdasar pengalaman saya sebagai kaunselor di sekolah saya mendapati bahawa kebanyakkan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah lazimnya mempunyai masalah keluarga contohnya seperti ibu-bapanya bercerai, bapanya mengamalkan ‘poligami’ tetapi tidak berlaku adil dan juga ibu-bapa yang sering bertengkar di rumah. Perkara-perkara seperti ini telah memberi tekanan kepada anak bangsa kita dan oleh kerana mereka tidak mampu lagi membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dia mengambil keputusan mudah dengan melakukan tingkahlaku bilazim.

Ibadat Kepada Allah Tuhan Seru Sekian Alam

Kebanyakkan pelajar yang bermasalah disiplin datangnya dari keluarga yang tidak menitikberatkan didikan agama dan tindakan mengendahkan suruhan Allah tuhan seru sekian alam. Ibu atau Bapa yang tidak bersolat, berpuasa dan beribat juga menjadi faktor penyumbang kepada gejala sosial anak bangsa kita. Sebagai contoh, ada bapa yang tidak bersolat sepatutnya sebagai bapa beliau perlu menjadirole model pada anak-anaknya namun tidak malah beliau menjadi punca anaknya terjerumus ke kancah tingkahlaku bilazim ini tambahan pula Solat Itu Tiang Agama, kalau tiang pun tak kukuh macamana rumah nak kekal lama.

Pengaruh Rakan Sebaya

Rakan sebaya juga turut menjadi faktor penyumbang kepada ‘kemerosotan anak bangsa kita’. Kebanyakkan anak bangsa kita menjadikan rakanya sebagai tempat untuk berkongsi masalah, namun cara untuk menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan jalan yang salah dan mengundang tingkah laku bilazim. Kadang-kadang ibu bapa perlu menyelidiki latar belakang rakan-rakan anak mereka untuk mengelakkan mereka terjebak ke kancah tingkah laku bilazim.

Kurangya Didikan Agama

Didikan Agama merupakan komponen terpenting di dalam menangani gejala sosial di kalangan anak bangsa kita. Sekiranya kita gagal memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak kita besar kemungkinan mereka mudah terjerobos ke dalam perlakuan yang diistilahkan bilazim.

Kurangnya Perhatian Ibu Bapa

Punk Di Malaysia

Punk Di Malaysia

Kajian juga mendapati ibu-bapa yang kurang memberi perhatian terhadap anaknya juga boleh membawa kepada menularnya gejala sosial di kalangan anak bangsa kita. Sebagai Contoh jika ibu dan bapanya banyak menghabiskan masa malamnya di Medan Selera Buluh Kubu, Kota Bharu dan pada siangnya pula mereka menghabiskan masanya dengan tidur di siang hari, ini menyebabkan mereka kurang memberi perhatian yang khusus kepada anaknya sehingga ada yang bebas bergaul dengan sesiapa sahaja dan berkemungkinan akan membawa kepada anak bangsa kita akan terjerumus kepada jenayah.

Pengaruh Persekitaran (Umum)

Medan Selera Buluh Kubu

Medan Selera Buluh Kubu

Pengaruh persekitaran (umum) seperti persekitaran tempat anak bangsa kita selalu pergi merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kemerosotan anak bangsa kita. Sebagai contoh jika anak bangsa kita pergi ke Pasaraya dan melihat cara remaja lain berpakaian di pasaraya tersebut ia akan menyebabkan mereka ingin melakukan pemakaian yang sama kerana remaja lazimnya “Belajar dari pemerhatian, apa yang mereka lihat itulah yang mereka pelajari dan mereka akan cuba buatnya”

.

Faktor Politik

Homoseksual di Malaysia

Homoseksual di Malaysia

Politik juga menjadi faktor penyumbang kepada kemerosotan anak bangsa kita. Kalau kita lihat ‘politik’ di negara kita ini lebih kepada budaya ‘saling menyalahkan’ bukanya ’saling menyelesaikan’. Politik tidak sihat seumpama ini juga memberi impak yang besar terhadap kemerosotan anak bangsa kita. Pemimpin-pemimpin parti politik sepatutnya saling berkerjasama untuk menangani kemerosotan anak bangsa bukan berbalah menyalahkan sesiapa.

Kesimpulan

Dalam menangani kemerosotan anak bangsa ia memerlukan kerjasama semua pihak, bukan sesetengah pihak sahaja. Dalam menangani kemerosotan anak bangsa semua pihak perlu bersatu dan berkerjasama dalam satu misi untuk menangani kemerosotan anak bangsa dan bukanya untuk kepentingan dan keuntungan mana-mana parti politik. Ketepikan ideologi politik untuk kepentingan semua.

Reblog this post [with Zemanta]